Friday, March 9, 2012

Bunohan - Nafas baru Sinema Malaysia


Sebelum aku menonton filem Bunohan ini, aku telah dihidangkan dengan pelbagai 'hype' tentang betapa hebatnya filem ini. Ia menjadi thrending yang popular di twitter dan menjadi banyak status dan komen di Facebook. Ramai juga yang berkongsi di Youtube dan tak kurang juga menjadi inspirasi untuk jurugambar menjadikan Bunohan sebagai tema. Untuk filem yang dianggap berat oleh sesetengah pihak, ini merupakan petanda baik untuk Sinema Malaysia. Kalau sewaktu Jogho dan Kaki Bakar media sosial ini telah tersebar, mungkin ia akan menerima komen sebegini.

Apa istimewanya Bunohan? Filem berat bukanlah genre yang mampu ditelan oleh penonton kita yang sukakan hidangan yang ringan tanpa perlu bersusah payah berfikir. Namun Bunohan mampu mengajak segelintir penonton sebegini menonton dengan aksi tomoi dan ganasnya Ilham. Namun ia sekadar secukup rasa tanpa perlu berlebih lebih. Apa yang mahu dihidangkan adalah konflik antara tiga beradik Ilham (Faizal Hussein), Adil (Zahiril Adzim) dan Bakar (Pekin Ibrahim) yang lebih kejam dan ganas dari itu.

Bunohan arahan Dain Said ini dimulakan dengan adegan seawal minit pertama, filem ini telah membawa kita menelan keindahan pantai dengan kemunculan dua lelaki kampung sedang menjalankan ritual (tradisi), masuk pula lelaki dengan pakaian kerja sedang berdiskusi tentang projek (realiti) dan juga seorang kanak-kanak yang terjatuh kemudian bangun semula dengan calitan darah di dadanya. Dia berlari dan disorot  ke kelir wayang kulit dengan kesan torehan sebelum imej kanak-kanak itu berlari dirakam di sebalik torehan tersebut. Ia sudah cukup untuk menceritakan keseluruhan cerita yang ingin disampaikan dalam filem ini. Kisah mitos, cinta, kekeluargaan, maruah, perjuangan, jati diri dan budaya telah digaul sehingga menjadi satu adunan yang lengkap untuk dijadikan hidangan buat penonton Malaysia yang mengidamkan santapan filem seni dengan nilai artistik tinggi. 

Bunohan divisualkan gelap, segelap kisah dan watak-watak di dalamnya. Namun kalau boleh dikategorikan sebagai antagonis dalam filem ini, sudah tentulah ia jatuh kepada Bakar yang kejam, keji dan sanggup mengadaikan kasih sayang dan kekeluargaan demi mencapai hasratnya. Walaupun watak Ilham dan Adil juga bersifat gelap, Bakar boleh dikatakan sebagai yang jahat antara yang jahat (the bad among the bad). Bakar adalah bentuk iblis moden yang bertopengkan manusia yang nampak sufi di luar namun kotor di dalamnya.



Pembahagian Watak
Watak-watak di dalam Bunohan digambarkan konsisten. Pok Eng (Wan Hanafi Su) bapa kepada tiga beradik ini sering digambarkan dengan wayang kulit pohon beringin. Dalam setiap permulaan cerita Wayang kulit akan dimulai dengan kemunculan pohon beringin yang akan berada di tengah layar putih, begitu juga apabila persembahan tamat. Sebenarnya pohon beringin itu jika diterbalikkan merupakan gambaran hati manusia. Perjalanan cerita wayang kulit secara totalnya ialah kisah perjalanan manusia dalam menyucikan hatinya, cuma ia diceritakan dalam bentuk kiasan dan perlambangan. Pohon Beringin dalam Bunohan Adalah Pok Eng sendiri yang cuba membawa 3 anak-anaknya dalam perjalanan menyucikan hati masing-masing.



Bakar dilihat lebih gelap di mana setiap wataknya bersama Adil, Pok Wah dan Muski, dia akan diposisikan disebelah kiri. Bukankah kiri itu lawan kepada kanan yang sinonim dengan kebaikan? Namun bila dia bersama Jolok, orang suruhannya Bakar diposisikan disebelah kanan untuk menggambarkan konon kemurnian hatinya. Namun Bakar tidak pernah bercakap dengan memandang tepat kepada Jolok. Dain Said mengambil sisi filem di Barat di mana setiap syaitan itu, akan ada orang suruhan untuk melakukan kerja kejinya dan dia akan sentiasa terlihat baik di mata awam. Dan satu scene yang paling aku tak lupa sewaktu Bakar berbual dengan Pok Eng di dalam bilik yang berasingan di mana dalam 'frame'nya Bakar tetap diposisikan disebelah kiri namun Pok Eng diposisikan disebelah kanan dalam 'frame'nya namun terselindung disebalik langsir yang kabur. Ini cukup menceritakan sifat watak mereka yang cukup bijak dimainkan Dain.




Ilham memperlihatkan watak gelap yang selari dengan Bunohan. Pekerjaannya sebagai pembunuh upahan membuatkan Ilham harus ganas, cekap dan pantas dalam melakukannya. Walaupun sifatnya begitu, namun Ilham mempunyai lapisan hati yang halus, penuh sifat penyayang dan menghormati hak setiap manusia. Ini jelas bila Ilham menunjukkan rasa belas terhadap mangsa yang dibunuh dan ketika berdepan dengan mangsa terakhir upahannya, Adil ‘Bunga Lalang’ – adiknya sendiri. Ilham juga sangat menghormati si mati apabila mengalihkan semua kubur tempat bersemadi ibunya Mek Yah ke tempat asal setelah dipindahkan oleh orang-orang Bakar untuk laluan kemajuan. Baginya, membunuh orang adalah semata-mata pekerjaan dengan upah namun sifat kasih sayang dan keluarga sangat penting baginya.



Ini berbeza dengan Adil yang digambarkan bersifat tidak menentu. Rasa benci terhadap ayahnya Pok Eng membuatkan Adil lari ke Siam dan menjadi peninju Tomoi yang cukup dikenali. Kepulangannya ke Bunohan setelah dilarikan Muski dalam satu perlawanan dianggap sebagai sial. Ini tergambar apabila Adil menjejakkan kaki ke Bunohan di sambut dengan awan kelam dan air laut yang suram. Adil masih tercari-cari asal usulnya sehingga memaksa Pok Wah (Namron) guru tomoinya menceritakan kisah yang sebenar.


Bunohan adalah cerita dunia lelaki dan diwarnai dengan kehadiran Mek Yah, ibu Ilham yang telah bertukar menjadi buaya putih. Keindahan simbolisme di dalam realisme itu yang menjadikan filem ini unik dan mempunyai tempatnya yang tersendiri. Bunohan tetap akan memuaskan hati penonton walaupun hanya dilihat pada lapisan atasnya sahaja. Mungkin ia akan mengambil masa dan bicara untuk memahami isinya namun ia permulaan yang baik untuk sinema Malaysia. Datanglah menonton bersama teman-teman agar dapat berbincang dan berbual tentang filem ini.

Kadangkala kita suka menjadi bodoh dan melihat filem yang ringan dan sempit sambil bergelak ketawa atau teruja dengan aksi-aksi lasak gaduh atau biasa saja menjadi takut dengan jenis hantu yang tak masuk akal dan pulang dengan rasa puas tanpa perlu memikirkan tentang isinya.

Namun sampai bila?





Sinopsis : Bunohan diolah dan berkisar mengenai penipuan, pengkhianatan dan perhubungan kekeluargaan yang disemarakkan dengan darah dan mitos.

Genre : Drama/Aksi
Festival : Festival Filem Antarabangsa Toronto, Anugerah NETPAC Festival Filem Golden Horse Taipei, Festival Filem Antarabangsa Rotterdam
Kos : RM1.81juta
Penerbit : Apparat Sdn. Bhd.
Pelakon : Zahiril Adzim, Faizal Hussein, Pekin Ibrahim, Wan Hanafi Su, Bront Palarae, Namron, Soffi Jikan, Hushairy Husin, Amerul Affendi, Tengku Azura
Facebook/Twiiter : www.facebook.com/Bunohan @Bunohan_Movie
Rating : 4.5/5



Seminar-Bengkel "KONSEP, FALSAFAH DAN STAIL PENGARAHAN "BUNOHAN" BERSAMA PENGARAH FILEM DAIN SAID" Anjuran Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FFTA) UiTM Kampus Puncak Perdana Shah Alam - RABU 14 MAC 2011, PUKUL 8.00 MALAM. TEMPAT TERHAD. Berminat sila email: mjmurat@yahoo.com

Bunohan film viewing + Dialogue with Director, Dain Said on Mar 15, 7:30pm GSC MV. RSVP + dets @ http://twtup.com/bunonan #TwtUpBunohan2



2 comments:

  1. Terbaik. Suka review ni. Memang Bunohan, gambar bercerita + skrip yang mantap & lakonan bergaya.

    ReplyDelete

Paling Popular